Sunday 22 July 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan ~



                   Sesungguhnya Islam itu agama yang cukup sempurna. Tiada kurangnya walau sedikitpun. Segala persoalan tentang ibadah, muamalat, kehidupan semuanya terjawab di dalam buku panduan pertama, kitab Al-quran yang mulia.



                  Jelaslah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan umat islam berpuasa dengan menujukan ayat tersebut khusus kepada orang-orang yang beriman. Maka, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat islam, yang menyakini Allah sebagai Ilah dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya. Dengan berpuasa, bererti kita telah menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, yang mana salah satu dari rukun Islam itu sendiri adalah dengan menunaikan puasa di bulan Ramadan.

  

                    Kenapa umat Islam perlu berpuasa setiap kali tibanya Ramadan? Persoalan ini selalunya bermain di minda kita. Lebih-lebih lagi ketika umur masih di peringkat kanak-kanak. Banyak persoalan tentang puasa terkumpul di minda. Jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa  islam tidak pula boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu di mana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.


                        Bulan Ramadan diibaratkan sebuah madrasah. Didalamnya penuh dengan tarbiyah dan ibadah. Saat itulah seluruh umat Islam berlumba-lumba mendapatkan kelebihan yang ada padanya. Bahkan ada juga yang mengibaratkan bulan Ramadan umpama sebuah karnival. Karnival ibadah!
                      Di antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amal ibadat kepada-NYA. Padanya juga turunnya Al-quran serta terjadinya malam Lailatul Qadar dan dicatatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 10 terakhir di bulan Ramadan.


                     Bersederhana dalam semua perkara. Kesederhanaan menghadapi Ramadan adalah amat dituntut dalam Islam agar terhindar daripada sifat yang berlebih-lebihan dan pembaziran. Sebagai contoh, selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka yang tersedia, sedangkan tidak semua makanan dapat dihabiskan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran.
                   Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar Ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak melebihi keperluan. Bahkan paling menyedihkan, ada makanan yang menjadi sisa buangan pada keesokan harinya. Basi tanpa sempat dihabiskan pada malamnya lantaran terlalu banyak juadah yang telah menjadi santapan.

                     Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri.