Pengajaran yang dapat melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi di dalam bilik darjah hanya dapat dilakukan setelah guru berjaya mewujudkan pembelajaran tumpuan murid dan dapat merancang kerangka pengajaran dengan mengintegrasikan kemahiran berfikir. Seterusnya guru boleh memikirkan tentang strategi dan kaedah yang dapat menggalakkan kebolehan kemahiran berfikir.
Maksud berfikir aras tinggi termasuk pemikiran kritikal, logikal, metakognisi dan kreatif. Kesemua kemahiran tercetus apabila murid berhadapan dengan masalah yang tidak biasa dihadapi, ketidakpastian, persoalan dan dilema. Kejayaan mengaplikasi kemahiran-kemahiran ini akan membuahkan penjelasan, membuat keputusan, pencapaian serta hasil yang sah dalam konteks pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh, serta dapat menggalakkan peningkatan pemikiran aras tinggi di samping kemahiran intelektual murid.
Proses dan nilai pemikiran aras tinggi diperjelaskan sebagai pemikiran yang berlaku apabila seseorang menerima maklumat baru dan maklumat tersebut tersimpan dalam memori dan disusun semula serta dikaitkan antara satu dengan lain. Seterusnya maklumat ini diperluaskan untuk mencapai satu tujuan atau mendapatkan kemungkinan jawapan kepada situasi yang mengelirukan. Pelbagai tujuan boleh dicapai melalui pemikiran aras tinggi…. menentukan kepercayaan, menentukan apa yang perlu dilakukan, menghasilkan satu idea baru, satu projek baru atau ekspresi kesenian, membuat jangkaan serta menyelesaikan masalah bukan rutin.
Strategi Pengajaran
Komunikasi arahan
Kauchak dan Eggen (1998) mendapati strategi berikut dapat menyumbang kepada komunikasi arahan yang diperlukan untuk menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi.
a. Selaraskan objektif, konten, kemahiran, tugasan, aktiviti dan bahan.
b. Rancangkan aktiviti dan tugasan kemahiran berfikir aras tinggi yang tersusun dan diatur mengikut peruntukan masa yang ditetapkan. Sediakan masalah serta soalan yang memerlukan murid berfikir menjangkau (beyond) kebiasaan.
c. Terangkan tugasan sejelas-jelasnya. Tunjukkan carta alir atau jadual pelaksanaan serta kerangka kerja. Berikan contoh produk yang terbaik.
Pengajaran secara langsung.
Arahan langsung biasanya tidak akan dapat menggalakkan pemikiran berfikir pada aras tinggi (Crowl dan rakan-rakan, 1997) tetapi langkah-langkah berikut boleh menjadikan arahan langsung lebih berkesan digunakan.
a. Bataskan pengunaan kaedah pengajaran secara langsung dengan memperkenalkan strategi dan kemahiran berfikir yang akan digunakan (Patrick, 1986).
b. Gabungkan pengajaran secara langsung dengan latihan berpandu / terbimbing untuk mengajar tentang isi kandungan dan kemahiran secara berstruktur (Crowl dan rakan-rakan, 1997).
c. Elakkan sesi kuliah panjang tetapi kuliah pendek dan ringkas sambil diselang-selikan dengan soalan, tunjuk cara, perbincangan, tayangan berkaitan atau kuiz untuk mengelakkan kebosanan. Gunakan pengurusan grafik atau peta minda (Buzan, 2006) dan i-think thinking map (Agensi Inovasi Malaysia, tanpa tarikh)
Penyoalan
Untuk menjana proses berfikir aras tinggi, soalan yang dikemukakan seharusnya dapat menghasilkan jawapan yang menarik dan belum diketahui. Soalan perlu dibina lebih awal dan dirancangkan agar dapat menghasilkan jawapan di luar jangkaan atau menjangkau kebiasaan (beyond).
a. Galakkan murid mengemukakan soalan dan beri peluang kepada rakan mereka untuk memberikan jawapan (Crowl dan rakan-rakan, 1997)
b. Mulakan dengan soalan aras rendah dan perlahan-lahan beralih kepada soalan aras tinggi (Kauchak dan Eggen, 1998)
Maklum balas
Maklum balas digunakan untuk memaklumkan kepada murid tentang kemajuan mereka. Gunakan strategi berikut untuk maklum balas:
a. Berikan maklum balas segera, spesifik dan bersifat pembetulan menggunakan intonasi positif (Brophy dan Good dalam Kauchak dan Eggen, 1998)
b. Elakkan maklum balas yang tidak jujur atau dengan memuji keterlaluan.
Aktiviti kumpulan
Bentuk kumpulan yang berkesan dapat dapat menjana pemikiran aras tinggi termasuklah pembelajaran koperatif, tutor rakan sebaya, perbincangan kumpulan kecil. Perbincangan kumpulan yang diselia dengan baik akan membolehkan murid terlibat dengan pemikiran aras tinggi. Pembelajaran koperatif akan meningkatkan motivasi dan penyertaan murid dalam proses pembelajaran.
Penggunaan komputer
Banyak cara boleh digunakan untuk membolehkan murid meningkatkan kemahiran berfikir mereka dengan menggunakan komputer.