Sunday 6 December 2015

Guru disanjung kerana ilmunya........


GURU atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi)

Kelebihan dinyatakan Rasulullah itu ternyata disebabkan manfaat ilmu disampaikan oleh orang berilmu. Dalam konteks perbincangan kita, golongan guru khususnya.

Kelebihan guru dan pendidik sering dibicarakan hingga pujangga turut mengibaratkan guru seperti bintang di langit yang menerangi kegelapan di laut dan di darat. Justeru, seseorang pengembara dikatakan akan tersesat jalan apabila bintang menghilang.

Demikian juga ibaratnya kehidupan manusia tanpa bimbingan guru yang akan kehilangan arah panduan. Lalu, akhirnya tersesat jalan. 

Secara ringkas, antara sebab guru wajib dimuliakan kerana;

Pertama, guru ialah insan mulia dan tinggi kedudukannya. Sebagai orang berilmu yang dijamin Allah ketinggian kedudukannya seperti yang disebutkan dalam satu ayat-Nya, guru tentu memiliki kemuliaan yang perlu dipertahankan. Bahkan, dalam satu ayat-Nya, Allah menggandingkan orang berilmu dengan malaikat. (Maksud surah Ali Imran, ayat 18)

Kedua, yang mewajibkan kita menghormati guru kerana mereka memiliki kebijaksanaan. Seperti dimaklumkan, manusia dapat mengendalikan hidupnya dengan sempurna berdasarkan keimanan dan kebijaksanaan. Begitu dengan guru.

Dengan kebijaksanaannya, guru berupaya membentuk dan mengembangkan daya keilmuan serta kebijaksanaan dalam diri muridnya. Perkara ini tentu dapat melahirkan generasi yang cemerlang akhlak dan peribadinya.

Ketiga, guru menyumbang bakti yang sangat besar. Jasa guru terlalu besar hingga tidak terungkap oleh kata-kata.

Bayangkanlah betapa besarnya jasa guru membimbing hidup manusia seluruhnya dengan ilmu yang diajarnya. Hidup tanpa ilmu sama seperti hidup dalam kegelapan. Ibarat nur, ilmu menerangi hidup manusia. Umpama lilin, guru membakar diri, menerangi kegelapan.

Sejarah membuktikan bahawa manusia berjaya mencapai kegemilangan menerusi ilmu dan kebijaksanaan. Demikian seterusnya dengan teknologi baru hari ini yang dicipta berdasarkan kedua-dua elemen itu, di samping kemahiran yang dimiliki.

Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi ayat 66-82 menunjukkan adab dalam menuntut ilmu.

Suatu perkara yang dapat dilihat dalam pertemuan antara Nabi Musa dan Khidir adalah bagaimana tawaduk dan rendah hatinya Nabi Musa sebagai seorang 'murid' yang mahu mempelajari sesuatu ilmu daripada gurunya. Tutur katanya penuh adab dan tingkah lakunya penuh sopan, syarat yang amat penting bagi sesiapa saja yang mahu menuntut ilmu.

Meneliti kisah Nabi Musa dan Khidir juga membolehkan kita membuat kesimpulan iaitu mereka secara tidak langsung menggariskan beberapa adab penting dalam mencari ilmu, khususnya dalam berguru.

Pertama, ilmu adalah kurniaan Allah. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh mendakwa bahawa dia lebih berilmu berbanding orang lain, kerana ada juga ilmu yang juga anugerah Allah tanpa mempelajarinya (ilmu ladunni iaitu ilmu yang dikhususkan untuk hamba Allah yang salih dan terpilih saja).

Kedua, perlu bersabar dan tidak terburu-buru serta mengutamakan kebijaksanaan pada setiap ketika.

Ketiga, seseorang pelajar perlu memelihara adab dengan gurunya.

Antara adabnya adalah seseorang pelajar mesti bersedia untuk mendengar penjelasan daripada guru dari awal hingga akhir, sebelum bertindak dengan mengabaikan perintah guru.

Selain memuliakan guru, kita bertanggungjawab untuk menunaikan hak mereka.

Antara hak guru yang perlu ditunaikan adalah:-
  • Merendah diri terhadap guru.
  • Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna.
  • Panggillah guru dengan gelaran mulia sebagai tanda menghormati mereka.
  • Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita.
  • Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka.
  • Berkelakuan penuh sopan ketika mengikuti pembelajaran.
  • Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus seperti bilik guru.
  • Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah diketahui.
  • Tidak mengemukakan pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya.

    Imam Al-Syafie pernah mengungkap: "Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."
 

Wednesday 2 December 2015

7 UBAT SAKIT HATI YANG DIAJARKAN 

RASULULLAH SAW.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وصحبه اجمعين. أما بعد:

TAZKIRAH HARI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA.   

Hampir setiap orang tentu pernah mengalami sakit hati dalam hidupnya. Baik dalam keluarga, persahabatan, mahupun dalam hidup bermasyarakat.

Sifat manusia secara normalnya pasti ada perasaan sedih dan gembira, perasaan seperti ini adalah suatu hal yang wajar dalam hidup manusia.

Apatah lagi,  manusia diciptakan oleh Allah SWT l adalah sebagai mahluk yang bersosial, yang dalam setiap interaksinya tidak lepas dari kekhilafan dan kesalahan.
Dari masalah yang kecil hingga masalah besar, dapat menjadi penyebab datangnya masalah tersebut.

Misalnya bermula dari perbezaan pendapat, perselisihan faham, adanya konflik atau ketidak serasian, sehingga penyakit  hasad dan dengki serta fitnah memfitnah.

Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama dalam hati, maka  tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan stress dan tidak akan ceria dalam menjalani kehidupan. Lebih parah lagi, perkara ini dapat menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.

Oleh  itu pada TAZKIRAH hari ini,  saya ingin berkongsi sedikit petua  Bagaimana menangani sikap sakit hati, agar tidak menjemput dosa kepada diri kita sendiri? Diantara petua-petua yang diajarkan oleh Rasulullah SAW,  untuk dijadikan penawar sakit hati diantaranya adalah:

1. BANYAKKAN MUHASABAH DIRI. 

Sebelum kita menyalahkan orang lain, seharusnya kita melihat diri kita sendiri. Mungkin kita sakit hati oleh kata- kata saudara kita, padahal tak bermaksud menyakiti. Cuba bertanya pada diri sendiri, mengapa saudara kita  bersikap demikian. mungkin kita sendiri yang telah membuat kesalahan kepadanya satu ketika dahulu.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Mujadalah , ayat 6:

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا أَحْصَاهُ اللَّهُ وَنَسُوهُ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Ertinya:
"Semasa mereka semuanya dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu".

2. MENJAUHKAN DIRI DARI SIFAT HASAD DENGKI.

Hasad dengki adalah  ruang  yang menjadi pintu bagi syaitan untuk memasuki hati manusia. Angan – angan yang berlebihan, dapat membuat seseorang buta dan pekak dengan kebenaran. 

Bila tidak dilandaskan iman, seorang yang berangan - angan cenderung akan melakukan berbagai cara untuk mendapatkan apa yang dicita-citakannya.

Sifat hasad dengki ini berasal dari kecintaan terhadap hal-hal yang bersifat material, kehormatan, dan pujian. Manusia tidak akan tenang bila dalam hatinya ada sifat hasad dan dengki.

Rasulullah bersabda dalam satu riwayat hadith yang bermaksud:

“Tidak boleh dengki kecuali kepada dua orang. Iaitu orang yang diberi harta oleh Allah, kemudian membelanjakannya di jalan yang benar. Dan orang yang diberi hikmah oleh Allah, kemudian memutuskan persoalan dengannya dan mengajarkannya.” (HR. Bukhari).

3. MENJAUHKAN DIRI DARI SIFAT MARAH DAN KERAS HATI.

Marah yang timbul dalam hati manusia, kadangkala manusia bertindak tanpa pertimbangan akal yang waras. Jika akal sudah lemah, yang tinggal hanyalah hawa nafsu. Dan syaitan pun berleluasa untuk melancarkan serangannya, lalu mempermainkan manusia untuk mengikut perintahnya.

Ibnu Qudamah dalam Minhajul Qashidin menyebutkan bahawa Iblis pernah berkata, “Jika manusia keras hati, maka kami akan membaliknya sebagai anak kecil yang sedang membalik bola.”

4. MENYEMAI SIFAT PEMAAF ANTARA SESAMA.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 199:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Ertinya:
"Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)".

Allah SWT Maha Pemaaf terhadap hamba-Nya. Tak kira sebesar gunung atau sedalam lautan kesalahan seorang hamba, jika dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh, maka Allah SWT akan membukakan pintu maaf selebar-lebarnya.

Kita sebagai manusia yang lemah, tidak sepatutnya berlaku sombong, dengan tidak memaafkan kesalahan orang lain, sebelum dia meminta maaf. Insya Allah, dengan begitu, hati akan lebih terasa lapang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bertakwalah kepada Allah SWT di manapun engkau berada, ikutilah  kesalahan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut menghapus kesalahan tersebut, dan bergaulah dengan manusia lain dengan akhlak yang baik.” (HR. Hakim dan At-Tirmidzi).

5. HUSNU DZON (BERBAIK SANGKA).

Allah berfirman dalam  Surah Al-Hujurat, ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Ertinya:
“Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kalian mengejek sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.” (QS. Al-Hujurat : 12).

Adakalanya seorang muslim berburuk sangka terhadap seorang muslim lainnya sehingga dia memperkecilkan serta menghinakan orang lain. 

Dia mengatakan keburukan tentang orang lain, dan mengatakan dirinya lebih baik. Tentu, perkara ini  yang tidak benar.

 Setiap muslim harus meneliti diri terhadap titik-titik  yang cenderung untuk  memancing tuduhan, agar orang lain tidak berburuk sangka kepadanya.

6. IKHLASKAN DIRI DALAM SETIAP AMALAN.

Ikhlas adalah kata yang ringan untuk diucapkan, tetapi cukup berat untuk dilakukan. Orang yang ikhlas dapat meniatkan segala tindakannya hanya semata-mata kepada Allah SWT.

 Dia tidak memiliki jiwa yang bersifat duniawi. Apabila Allah mengujinya dengan kenikmatan, maka dia bersyukur. Bila Allah mengujinya dengan kesusahannya pun, dia bersabar.

Dia selalu percaya bahawa Allah SWT akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada hamba-Nya.

 Orang yang ikhlas akan lebih mudah menangani hatinyanya untuk selalu menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Hanya kepada-Nyalah dia menggantungkan harapan.

7. BERSYUKUR DENGAN NIKMAT ALLAH SWT.

Bersyukur  adalah bentuk rasa cinta yang tertinggi dan yang terindah seorang hamba kepada Allah SWT, kerana hamba yang bersyukur bermakna nikmat yang di berikan Allah SWT dapat jalani dengan yang sebaiknya dan mengembalikan nikmat tersebut kepada Allah SWT dengan bersyukur. 

Sebagai balasannya kita akan menerima kedamaian dan kebahagiaan yang tak terhingga dari sikap syukur kita kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Ertinya:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".



Ya Allah kami bukan makhluk yang sempurna dari kesilapan dan kesalahan, jauhkan dari kami ya Allah dari perasaan sakit hati terhadap sesama makhluk yang melakukan kesalahan dan kejahatan kepada kami. Mudah-Mudahan kaki menjadi hamba-Mu yag lebih bersabar dalam menghadapi cabaran hidup ini. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

SEMOGA KITA TERUS ISTIQOMAH....